JOIN NOW~!

Thursday, December 18, 2008

Mahar Cinta {4}

Keputusannya tegar kini. Inilah yang terbaik buat semua. Dia akan meneruskan perancangannya tanpa teman disisi. Tapi sebelum itu dia harus meminta izin ayahnya. Berat benar rasa di hati.

“Abi, izinkanlah Kaef pergi merantau tanpa teman. Siapa tahu di sana nanti Kaef mampu menemukan sebenar-benar jodoh Kaef.”

“Ibni, Abi tidak mampu lagi menghalang, ini soal hidup anta yang selayaknya anta sendiri tentukan. Pergilah, Kaef. Jalankan kewajipan anta.”

Setelah bersalaman dengan ayahnya Kaef Qaisy terus keluar dari rumah tersebut. Keretanya ditinggalkan dan dia menuju ke lapangan terbang dengan menggunakan teksi sahaja. Syeikh Faizul turut merasakan kecelaruan yang dihadapi oleh anaknya. Dia tidak seharusnya mendesak dahulu. Namun dia mengerti, segala yang terjadi sudah suratan Illahi, sudah tercatit di Luh Mahfuz.

“Allahuakbar!!” Kedengaran jeritan dari halaman rumah.

Syeikh Faizul cepat-cepat keluar untuk menyaksikan apa yang terjadi. Hati tuanya mula bergetar hebat. Dihadapan matanya kini dia dapat saksikan anaknya dibelasah bertubi-tubi oleh seorang lelaki bertubuh sasa. Namun Kaef Qaisy tidak pula melawan.

“Astaghfirullahalazim!! Ada apa ini? Kenapa kamu memukulnya?”

“Pak cik, dia ni memang layak dibelasah begini!” Kasar nada Saiful.

“Mana adabmu?! Pergi dari sini!!”

Syeikh Faizul membantu Kaef Qaisy bangun. Jubah putih yang dipakai anaknya sudah dilumuri habuk tanah. Saiful masih tidak berganjak, matanya penuh dendam bagai harimau yang ingin membaham mangsanya.

“Jangan pernah ganggu Zulaikha lagi!”

“Maafkan saya, saya tidak akan berhubung dengannya lagi.”

Syeikh Faizul ingin membawa anaknya masuk semula namun Kaef Qaisy enggan. Dia tetap ingin meneruskan kembaranya. Lelaki tua itu hanya mampu menurut sahaja. Dia yakin anaknya tahu apa yang dilakukan.

* * *

Pasar sibuk itu diredahnya. Dari lorong ke lorong. Sesekali peluh yang mengalir dikesat. Sudah beberapa bulan dia mengharungi hari-hari seperti itu. Dia akan berulang-alik dari tempat tinggalnya ke rumah Syeikh Suleiman al-Fadl yang sememangnya jauh. Sengaja dia berbuat demikian. Dia lebih menghayatinya hari-harinya begitu dan dia boleh melihat pelbagai kerenah bangsa Indonesia dalam perjalanannya.

“Assalamualaika, ya Syeikh!”

“Waalaikassalam, Kaef. Mari ke mari.”

“Kaifa haluka?”

“Khair, khair! Alhamdulillah! Kamu keliatannya letih sekali, berjalan kaki lagi ya?”

“Hidup saya lebih indah begini, ya Syeikh.”

“Bijak sekali kamu mengatur hidupmu. Moga Allah memberkati kamu dengan setiap pengorbananmu ini.”

Sudah lapan bulan Kaef Qaisy merantau di seluruh bumi Indonesia. Dulunya di Acheh, turun ke Jakarta, dan kini di Jogjakarta pula. Gurunya, Syeikh Suleiman al-Fadl, memang seorang Muslim yang banyak pengalaman. Oleh sebab itu Kaef Qaisy gemar menemuinya, banyak kisah hidup lelaki tua itu yang sangat menarik perhatiannya, boleh juga dijadikan pengajaran.

Sedang Kaef Qaisy khusyuk mendengar kisah perdebatan gurunya dengan seorang pengemis Yahudi, telefon bimbitnya berbunyi. Kaef Qaisy memohon maaf kepada gurunya lantas keluar untuk menjawab panggilan itu.

“Assalamualaika, ibni Kaef!”

“Waalaikassalam, abi! Apa khabar?”

“Alhamdulillah! Kaef pula?”

“Alhamdulillah juga! Qaira bagaimana?”

“Dia ada disini, sedang cuti. Sebenarnya, Abi nak cakap sesuatu.”

“Apa dia?”

“Kaef balik ya Syawal nanti.”

“Insya-Allah, Abi. Kaef akan cuba balik pertengahan Ramadhan nanti.”

“Akhi mesti balik tau!!” Tiba-tiba Qaira yang membalas.

“Kenapa? Ada apa? Qaira dah nak kahwin ke?”

“Ish!! Nanti akhi tahulah…”

Kaef Qaisy dapat mengesan sesuatu yang mencurigakan melalui nada suara Qaira. Dia mengusap-usap jangut yang sudah mulai panjang. Kemudian, dia kembali semula kepada Syeikh Suleiman al-Fadl.

* * *

Tiada sebarang kata, tiada juga ekspresi pada wajah Zulaikha. Sebetulnya, dia sudah tahu lebih awal. Mungkin Allah sengaja menghadirkan dirinya di tempat itu pada waktu yang sangat tepat. Agar dia lebih tahu siapa Saiful sebenarnya.

Saiful hanya tertunduk sepanjang perbualan mereka. Dia malu! Malu kerana terpaksa berhadapan dengan tunangnya dalam keadaan yang benar-benar mencabar keegoannya.

“Abang…kenapa abang tak pandang Zu?”

“Zu baliklah. Abang tak perlukan Zu!”

“Zu kan tunang abang, kita dah sepatutnya kahwin kelmarin.”

“Zulaikha, abang rasa kita putuskan sahaja pertunangan kita!”

Sejurus selepas itu, Saiful bingkas bangun lalu menghampiri pegawai polis yang setia menantinya sejak tadi. Tidak sedikit pun dia menoleh, memandang Zulaikha yang masih tidak berganjak dari tempatnya.

~

“Ke mana saja kamu pergi, Zulaikha?”

“Zu pergi jumpa Abang Saiful.”

“Eh, untuk apa lagi kamu berjumpa dengan lelaki keparat tu?!”

“Ibu, dia masih lagi tunang Zu.”

“Dah, tak adanya. Bagi ibu cincin tu.” Arahan ibunya dituruti oleh Zulaikha. “Tadi, keluarga Saiful ada datang, nak putuskan pertunangan. Kamu yang tak ada, jadi mereka tak dapat ambil semula cincin ni. Lepas ni, tak usahlah kamu jumpa dia lagi.”

Zulaikha tunduk lalu meminta izin untuk masuk ke dalam bilik. Kecewa juga rasa hatinya kerana perkara begini terjadi. Dahulu, kedua orang tuanya yang bersungguh-sungguh merancang untuk menyatukan mereka sedangkan Zulaikha tidak pernah mengenali Saiful lebih daripada anak kepada sahabat karib ayahnya.

Masih lagi terbayang di benaknya saat dia terjumpa Saiful sedang menjual dadah di sebuah lorong. Namun dia hanya pendamkan perkara tersebut kerana bimbang keluarganya tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Akhirnya, Allah memberikan pertolongan yang dipohon Zulaikha, Saiful ditangkap sehari sebelum pernikahan yang telah dirancang.

Fikiran Zulaikha tiba-tiba teringatkan Kaef Qaisy. Apa agaknya khabar lelaki itu? Dia sudah jarang berhubung dengan Qaira kerana dia tidak lagi tinggal di kampus. Lagi pula, dia malu atas tindakan Saiful terhadap Kaef Qaisy dahulu.

“Kak…”

“Ya Zafyra?”

“Kakak okay?”

“Mari sini.”

Zulaikha menghulurkan tangan untuk digapai oleh adiknya. Didakapnya tubuh Zafyra erat-erat. Entah bagaimana air matanya boleh mengalir. Cepat-cepat dia mengesatnya dengan harapan Zafyra tidak melihat.

“Kakak okay. Jangan risaulah. Ira pula kenapa?”

“Kak… Ira tak bermaksud nak ghibah tapi… Abang Saiful pernah cuba nak….nak….Ira.” Zafyra tidak berani menyebutnya secara terus.

“Astaghfirullahalazim! Ira …”

“Ira lawan, kak. Nasib baik ada kawan Ira lalu masa tu. Kalau tak …”

Sekali lagi Zulaikha mendakap tubuh adik bongsunya. Berterusan kisah buruk tentang Saiful didengarinya tapi dia lebih mengasihani Zafyra. Zafyra tidak berani menceritakan hal tersebut lebih awal kerana takut Zulaikha tidak percaya sekali gus menghancurkan hubungan mereka.

~

Qaira tidak henti-henti menyoal kesungguhan ayahnya. Dia bimbang kalau-kalau hasrat ayahnya itu mengundang satu lagi musibah. Syeikh Faizul pula tenang menjawab setiap persoalan anak gadisnya sambil membaca sebuah buku bertajuk Muslim World After 9/11. Perangai Qaira tidak ubah seperti perangai arwah isterinya, sentiasa berjaga-jaga dalam melakukan sesuatu hal.

Kali ini Syeikh Faizul begitu yakin dan tegar dengan keputusannya. Kini, dia hanya perlu menanti saatnya tiba. Bukanlah dia ingin menangguk di air keruh namun dia sudah pun mendapat petunjuk. Lebar senyuman yang terukir di bibir Syeikh Faizul. Qaira pula hanya mengerutkan dahi kerana dia masih tidak pasti.

* * *

Kaef Qaisy melangkah tenang memasuki kapal terbang. Sekian lama merantau di Indonesia, ayah dan adiknya tiba-tiba memintanya kembali ke tanah air. Sebenarnya, hati lelaki itu terasa berat untuk pulang. Terlalu banyak yang telah terjadi. Semuanya masih lagi segar dalam ingatannya.
~

"Ya Allah, tidak cukupkah apa yang ana terima sebelum ini?" Bisik hati kecilnya setelah keluar dari balai ketibaan. "Namun kecantikannya...kenapa tidak mampu ana miliki? Jika Hawa dijadikan untuk Adam, kenapa Zulaikha ini tidak dijadikan untuk Kaef Qaisy?"

Kaef Qaisy meraup wajahnya agar tidak terusan berfantasi. Dalam nafas yang dihelanya sebelum merapati ayah serta adiknya. Lama dia mengucup tangan tua yang telah berjasa itu. Kemudian langkahnya diberhentikan di hadapan Zulaikha sebelum bersalaman dengan Qaira.

"Untuk apa anti ke mari? Ana tidak ingin dibelasah lagi..."

"Maafkan ana, Kaef. Tapi..."

"Lebih baik anti pergi"

"Kaef... Bukankah gadis ini yang Kaef inginkan dahulu?" Syeikh Faizul mula bersuara.

"Abi, Kaef tidak ingin menanggung dosa kerana merampas hak orang lain."

"Tapi Zulaikha sudah boleh menjadi milik Kaef..." Selamba gadis itu mencelah.

"Zu..lai..kha..."

Suara Kaef Qaisy yang awalnya tinggi menjadi perlahan. Mindanya cuba menganalisa semula kata-kata Zulaikha. Benarkah apa yang didengarinya?

"Saiful?"

"Dia bukan jodoh ana."

"Akhi, Abi sudah melamar Zulaikha sekali lagi buat akhi. Lihat sahaja di jarinya.”

Fantasinya tadi bertukar realiti kini. Bagai mendapat anugerah terbesar dari Ilahi saat melihat cincin indah tersarung kemas di jari manis Zulaikha. Sekali lagi Kaef Qaisy meraup wajahnya.

"Ana ingin terus memakainya."

Kaef Qaisy tertawa kecil. "Sudahlah! Kaef letih, Abi. Seeloknya kita pulang ke rumah."

Cepat-cepat Kaef Qaisy mengangkat begnya lalu mencari-cari arah kereta milik ayahnya. Syeikh Faizul hanya terdiam lalu menunjukkan arah kenderaan. Beberapa langkah meninggalkan Zulaikha terkaku, Kaef Qaisy berpaling.

"Sekarang bulan Ramadhan, bukankah lebih baik kita langsungkan di bulan Syawal?"

"Hah?" Zulaikha terpinga.

"Kenapa? Tidak setuju? Bukankah anti ingin terus memakai cincin itu, tapi cukupkah sekadar ikatan sebegini?"

"Ukhti, Akhi Kaef ingin menikahi ukhti di bulan Syawal nanti." Lebar sahaja senyuman Qaira.

Lama Zulaikha menatap sebuah keluarga yang sudah tersenyum di hadapan matanya. Seketika kemudian, Qaira menarik tangan Zulaikha, membawanya bersama ke arah kereta. Senyuman yang terukir di bibir Kaef Qaisy membuatkan Zulaikha seperti di awangan. Itulah pertama kalinya dia menyaksikan Kaef Qaisy tersenyum seperti itu.

"Kenapa ukhti? Tidak percaya?" Qaira berbisik di telinga Zulaikha.

"Bukan, ukhti terlalu gembira sehingga tiada kata yang mampu ukhti ungkapkan melainkan tahmid tanda syukur kepada-Nya."

* * *
bersambung~

No comments:

Post a Comment