JOIN NOW~!

Tuesday, December 16, 2008

Mahar Cinta {3}

Banyak sekali barang dapur yang dibeli oleh Kaef Qaisy dengan wang simpananya sendiri. Bukan untuk dirinya, tapi untuk keluarga arwah Amir. Azlan, adik bongsu arwah Amir juga turut menemaninya. Semalam dia lihat anak-anak Pak Karmin makan nasi dengan telur goreng sahaja. Sebak juga rasa hatinya. Bagaimanalah nanti bila dia pergi merantau?

Baru sahaja Kaef Qaisy ingin masuk ke dalam keretanya, dia terdengar suara wanita menjerit nyaring. Kemudian, seorang lelaki bertubuh kurus berlari laju melimpasinya. Tanpa berfikir panjang, Kaef Qaisy terus mengejar lelaki tersebut. Jauh juga dia berlari, akhirnya lelaki tadi membaling beg yang dipertahankannya sejak tadi.

Termengah-mengah Kaef Qaisy mencari tuan empunya beg itu. Ubat asthma dicapai dari poket seluarnya. Tadi dia langsung tidak melihat wajah wanita itu. Dia membuat keputusan untuk membawa beg tersebut ke balai polis kerana dia tidak berani untuk melihat kad pengenalan yang mungkin ada di dalam beg tersebut. Dia bimbang nanti ada fitnah yang dilemparkan kepadanya.

“Kaef…” Kedengaran suara yang pernah didengarinya.

“Eh, Zulaikha! Kenapa?”

“Tu..erm..beg ana.”

“Oh! Hampir sahaja ana serahkan kepada polis tadi.”

“Syukran jazilan! Kalau anta tak tolong, tak tahulah macam mana.”

“Anti nak ke mana?”

“Balik kampus.”

“Marilah ana hantarkan. Lagi pun ana lalu jalan yang sama.”

“Erh…tapi…”

“Jangan risau, bukan kita berdua sahaja, ana ditemani Azlan, adik arwah Amir.” Kedengaran nada sayu di hujung bicaranya.

“Baiklah.”

Zulaikha terpaksa akur kerana Kaef Qaisy sepertinya tidak mahu mengalah. Tambahan pula, dia memang kurang berani untuk menaiki teksi atau bas. Bak kata pepatah, rezeki jangan ditolak. Zulaikha tiba-tiba tersenyum sendiri mengenangkan lagak Kaef Qaisy berlari mengejar peragut itu tadi. Bagaikan hero filem Hindustan!

Gugup sekali kelakuan lelaki itu. Dia berasa serba-salah sama ada dia harus turut keluar atau tidak. Sebetulnya, Kaef Qaisy tidak pernah berhubungan dengan gadis seperti ini.

“Lan tunggu sini ya…”

Azlan hanya mengangguk sambil memerhatikan Kaef Qaisy keluar dari kereta lantas mengekori Zulaikha. Kemudian dia membuka dashboard lalu mencapai surah Yaasin didalamnya. Dia mula teringatkan arwah abangnya.

“Zulaikha!”

“Ya?”

“Anti ahli Persatuan Belia Islam kan?”

“Ya. Kenapa?”

“Tak. Err, anti memang minat memberi dakwah dan tarbiyah?”

“Itu kan kewajipan kita sebagai umat Islam. Kalau boleh ana nak pergi ke seluruh pelosok dunia untuk berdakwah dan memberi tarbiyah. Sambil-sambil tu, ana boleh pelajari banyak ilmu.”

“Ana kagum pada anti… Jarang ada muslimah yang bercita-cita setinggi cita-cita anti.” Hati Kaef Qaisy mula bergejolak saat mendengar penjelasan daripada Zulaikha tadi.

“Anta juga apa kurangnya? Semua orang bangga dengan anta, sebut sahaja Kaef Qaisy..pasti ramai yang kenal. Peminat pun ramai.”

“Peminat?” Kaef Qaisy tertawa kecil. “Apa gunanya ramai peminat jika muslimah yang ana ingini terasa sukar untuk dimiliki.”

“Emm… Anta tak boleh masuk dalam ni.”

“Oh, ya!” Kaef Qaisy tertunduk malu. Dia tidak sedar bahawa mereka sudah tiba di hostel perempuan. “Lain kali, hati-hati ya…”

Hanya sepintas lalu senyuman Zulaikha yang dilihatnya kerana gadis itu terus berlalu pergi. Senyuman sedetik itu cukup untuk membuatkan Kaef Qaisy berdebar. Apalah agaknya yang ada difikiran Zulaikha saat ini?

~

Rajin sekali Kaef Qaisy membantu Pak Karmin mencangkul tanah untuk dibuat batas. Bila selesai nanti, Mak Diah akan menyemai benih sayur-sayuran. Hasilnya bolehlah dijual untuk membiayai kehidupan. Pagi-pagi tadi Pak Karmin sudah turun ke laut untuk menangkap ikan. Sedih juga hati lelaki Kaef Qaisy melihat kehidupan yang diibaratkan kais pagi makan pagi kais petang makan petang itu.

Selepas solat Isyak di surau berdekatan, Pak Karmin dan Kaef Qaisy duduk di serambi rumah sambil menghirup kopipanas yang dihidangkan Mak Diah. Jauh juga lelaki tua itu termenung memikirkan entah apa.

“Pak cik, tak lama lagi, Kaef nak pergi jauh…merantau, cari ilmu.”

“Baguslah tu Kaef! Sambil mencari ilmu tu, sambil menimba pengalaman, mengenal diri.”

“Ya. Cuma …”

“Cuma apanya?”

“Ayah Kaef, dia mahu Kaef bernikah dahulu. Kaef takut nanti isteri Kaef akan terabai.”

“Kaef, itulah satu lagi pelajaran dalam hidup yang Kaef perlu pelajari. Tanggungjawab sebagai seorang suami. Kaef sudah cukup dewasa, sudah 27 tahun. Ni, dah ada calon?”

Kaef Qaisy tersenyum lalu menghirup kopinya. Dia tidak menyedari bahawa kopi tersebut masih lagi panas sehingga lidahnya rasa terbakar. Pak Karmin tergelak besar menyaksikan kelakuan anak muda itu.

Angin malam di tepi pantai itu memang nyaman sekali. Kaef Qaisy membenarkan rambutnya dibelai oleh puputan bayu lembut itu. Dalam kesunyian malam itu juga dia memberi tazkirah kepada dirinya sebagai peringatan agar dia tidak terleka untuk menggapai sesuatu perkara yang tidak pasti.

* * *

Qaira tersengih-sengih sambil mencari seseorang. Dahi Zulaikha berkerut kehairanan. Namun fokusnya tetap diberikan kepada sebuah novel yang baru dibelinya. Dalam ketenangan padang yang menghijau, muncul seorang jejaka menghampiri dua orang gadis yang bersantai di situ.

"Assalamualaikum!"

"Waalaikassalam!" Ceria sekali suara Qaira. "Ya ukhti, tak jawab, dosa..." Qaira menyiku Zulaikha.

"Waalaikassalam..."

Zulaikha baru tersedar ada yang datang menghampiri. Dia tergamam. Kaef Qaisy! Patutlah Qaira seperti mencari-cari sesuatu. Dia membetulkan duduknya agar lebih sopan.

"Kaifa haluki?"

"Khair... Anta nak jumpa Qaira? Biar ana pergi ya..."

"Tak! Tak mengapa..."

Kaef Qaisy tidak berani terusan memandang Zulaikha. Dia turut serta duduk di atas lantai berlapik rumput itu. Suasana sunyi buat beberapa ketika. Hanya Qaira yang sibuk menarik lengan abangnya agar bersuara.

"Anti ambil kuliyyah apa?"

"Law...syariah."

"Oh, bakal peguamlah nampaknya!" Kaku sekali bicaranya.

"Ya, boleh dikatakan begitu. Anta?"

"Usul ad-Din and Comparative Religions"

"Interesting! Pasal apa eh?"

Zulaikha mula menunjukkan minat, novelnya diletakkan ke tepi. Qaira sudah tidak lagi wujud dalam perbualan mereka biarpun jasadnya masih lagi disitu.

"Basically, usuluddin."

"So, planning lepas ni?"

"Merantau mungkin..."

"Mungkin?"

"Ayah ana kenakan syarat… Ana harus…bernikah."

Zulaikha terdiam. Kemudian dia mengangguk-angguk, cuba menyelindungi rasa terkejutnya. Nampaknya, Kaef Qaisy sudah mempunyai calon, jika tidak, mana mungkin ayahnya menyuruhnya bernikah.

"Kenapa diam?"

"Siapa calonnya?" Zulaikha menjawab soalan Kaef Qaisy dengan persoalan yang baru.

Kaef Qaisy tertawa kecil lalu berkata, "Entahlah...mungkin anti."

Lama dia merenung reaksi Zulaikha yang sudah mula tidak senang duduk. Novel yang tadi dilemparkan ke tepi digapai kembali. Qaira membuat mimik muka. Kaef Qaisy mula gelabah.

"Eh, saya cuma bergurau! Aasef!"

"Tapi, kalau betul...bolehlah ukhti jadi kakak ipar Qaira!"

Cepat sahaja selorohan Qaira menyusul. Satu cubitan lembut singgah di lengannya. Namun Qaira masih tidak berhenti mengusik mereka. Zulaikha tunduk sambil tersenyum. Telinga Kaef Qaisy sudah kemerah-merahan. Apakah maksud senyuman itu? Sesekali Zulaikha mengerling ke arah Kaef Qaisy.

Selang beberapa minit suasana kian sunyi, Zulaikha bangun. Katanya, dia harus pergi kerana ada kuliah. Kaef Qaisy berlagak tenang sehinggalah gadis itu hilang dari pandangan.

“Qaira, apa maksud senyumannya tadi?” Soal Kaef Qaisy tanpa berselindung.

“Mungkin tandanya dia juga mahu.”

“Benarkah?”

“Akhi, Qaira kata mungkin.”

“Jadi, apa lagi yang akhi harus lakukan?”

“Merisik?”

Kaef Qaisy menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sungguh dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Bolehkah dia mengikut cadangan adiknya? Tidak perlukah dia bertanya kepada empunya diri terlebih dahulu?

“Ah, kompleks sungguh!”

Qaira hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia sendiri hairan melihat abangnya yang agak gelabah dalam soal sebegini walhal dia tidak pernah berkelakuan seperti itu tatkala berdakwah atau memberi tarbiyah.

Dalam perjalanan menuju ke arah kenderaannya, Kaef Qaisy terlihat Zulaikha sedang berbual dengan seorang lelaki entah siapa. Sesekali mereka kelihatan mesra, tertawa kecil. Dari segi raut wajah, mereka tidak kelihatan seperti adik-beradik. Kaef Qaisy hanya meneruskan langkahnya tanpa berfikir panjang. Mungkin juga lelaki itu abang saudaranya. Biarlah. Dia sendiri masih belum mengenali keluarga Zulaikha, tidak layak untuk membuat sebarang telahan.

Belum pun sempat Kaef Qaisy memberitahu ayahnya tentang keputusannya, Qaira sudah terlebih dahulu memberi khabaran tersebut kepada Syeikh Faizul apabila ayahnya itu menelefon tadi.Terus sahaja Syeikh Faizul bertanya bila Kaef Qaisy mahu menyampaikan hajat itu.

Malam itu, anak lelaki tunggal Syeikh Faizul melakukan solat Istikharah dengan khusyuknya. Dia sebenarnya masih ragu-ragu, keliru. Apa yang dilihatnya siang tadi tiba-tiba membelenggu fikirannya walhal tiada persoalan pun tentang siapa lelaki itu sebelum ini.

“Ya Allah, kenapa begini sukar untuk ana melaksanakan komitmen ini? Apakah ana belum bersedia? Berikanlah petunjuk-Mu kepada ana yang tersangat lemah ini, Ya Hadi!”

~

“Kaef, Abi rasa, kita teruskan sahaja. Lagi pula, Pak Long, Mak Long dan Pak Ucu anta sudah bersedia di luar. Tak salah kita mencuba.”

Lama Kaef Qaisy terdiam barulah dia bersuara. “Baiklah, Abi.”

Serta-merta dengan itu Syeikh Faizul terus keluar dari bilik anaknya lantas menuju ke ruang tamu sedangkan Kaef Qaisy masih lagi bingung. Sudah dua hari dia solat Istikharah namun masih tiada jawapan yang diperolehi.

Berpandukan arah yang diberikan oleh Qaira, akhirnya rombongan itu sampai ke rumah Encik Wahab. Terkejut Encik Wahab menerima tetamu yang agak asing bagi dirinya.

“Eloklah kita berterus-terang sahaja kerana saya ni tak pandai nak berpantun. Begini, anak buah saya sudah terpaut hatinya kepada anak Encik Wahab.”

“Siapa dia? Anak perempuan saya ada dua orang, yang mana satu menjadi pilihan hati?”

“Nama anak buah saya tu Kaef Qaisy. Kalau tak silap saya, yang bernama seakan isteri Nabi Yusuf yang menjadi igauan, Zulaikha.”

“Zulaikha?!” Encik Wahab seakan-akan terkejut.

“Kenapa?”

* * *

Tidak tenang hati lelaki itu menanti hadir jawapan kepada kerunsingannya. Sejak tadi dia asyik mundar-mandir di hadapan perpustakaan universiti. Keadaannya berbeza kini, bagaikan orang yang sudah hilang pertimbangan. Akhirnya, yang dinanti sudah tiba. Terus sahaja Kaef Qaisy menghujani Zulaikha dengan persoalan membuatkan gadis itu terpinga.

“Apa?!” Buat pertama kalinya Zulaikha meninggikan suara apabila berbicara dengan Kaef Qaisy.

“Kenapa mereka tolak Zulaikha?”

“Siapa suruh anta pandai-pandai hantar rombongan merisik ana?!”

“Salahkah ana ingin memiliki anti?”

“Kenapa dengan anta ni? Kita tidak pernah ada apa-apa pun!”

Kaef Qaisy membuka kopiahnya lalu mengusap kasar rambut pendeknya. Celaru sekali dirinya saat ini. Sudahlah rombongan merisik itu tidak berjaya, kini Zulaikha pula mengecewakannya dengan bersikap kasar.

Laju langkah Zulaikha pergi dari situ. Dia memang seharusnya pulang ke rumah hari ini untuk cuti. Mendengar kata-kata Kaef Qaisy tadi, sudah pasti ada masalah yang bakal dihadapinya di rumah nanti. Dia tidak berniat untuk bersikap kasar tetapi tindakan yang Kaef Qaisy lakukan tanpa memberitahunya terlebih dahulu membuatkan dia kecewa.

~

"Zulaikha binti Wahab!"

Satu suara memecah hening ruang tamu rumah milik keluarga Zulaikha membuatkan gadis yang baru menjejakkan kaki ke dalamnya itu tersentak. Matanya membulat memandang empunya suara. Beg di tangannya dilepaskan ke atas lantai.

“Abang! Buat terkejut Zu saja! Kenapa abang ada kat sini?"


"Kenapa? Tak boleh? Zu cuti ni berapa lama?"

"Dua minggu..." Zulaikha mula tertunduk. Entah kenapa Saiful begitu tegas terhadapnya.

"Abang rasa cukup. Lagi pun, Zu dah nak habis study kan?"

"Abang, kenapa perlu tergesa-gesa? Zu dah cakap kan Zu nak kerja dulu." Zulaikha seakan mengerti maksud Saiful.

"Oh ya? Atau ada rancangan lain?"

"Apa abang cakap ni?!"

Dahi Zulaikha berkerut-kerut tapi ekspresi wajah Saiful lebih menggerunkan. Zulaikha yang sejak tadi tercegat di hadapam pintu utama terus berlalu meninggalkan Saiful di ruang tamu. Dia sendiri tidak mengerti apa yang ada di benak lelaki itu namun untuk mengingkari kemahuan lelaki itu sangatlah mustahil.

Beberapa jam sebelum itu....

Sabar sekali Qaira menunggu jawapan dari mulut Zulaikha. Bagaikan ada seketul emas yang besar dalam mulutnya. Setelah puas mendiamkan diri, akhirnya Zulaikha mahu bersuara.

"Na'am...memang ana turut tertarik kepada abang anti. Bahkan sebelum Kaef mengenali ana lagi. Kali pertama ana berjumpa dengannya semasa dia menguruskan pendaftaran masuk ke universiti ini. Tapi dia tidak menyedari kehadiran ana saat itu sehinggalah dia hampir terlanggar ana."

"Ya ukhti, jika ukhti tahu betapa Akhi Kaef benar-benar ingin memiliki ukhti."

"Apa gunanya Qaira?"

Perlahan-lahan sebentuk cincin dikeluarkan daripada karung kecil yang sering dibawanya kemana sahaja. Indah sekali permata yang bertatah di atasnya. Dengan mata yang berkaca-kaca Zulaikha menatap lesu wajah Qaira. Qaira pula hanya mampu mendakap tubuh gadis yang sudah dianggap sebagai kakak itu.

Di rumah Sheikh Faizul pula...

"Astaghfirullahalazim!!"

"Akhi, maafkan Qaira kerana tidak bertanya kepada dia terlebih dahulu."

"Bukan itu masalahnya, Qaira. Masalahnya, akhi sudah menghantar rombongan untuk merisik tunangan orang! Pantas sahaja keluarganya menolak! Astaghfirullahalazim!"

"Tapi bukan salah kita, ya Akhi Kaef! Dia tidak mempamerkan bahawa dirinya bakal menjadi milik orang."

Setelah sekian lama, akhirnya Qaira menyaksikan airmata abangnya mengalir perlahan membasahi pipi. Bukan kerana kecewa tidak mampu memiliki Zulaikha tetapi rasa berdosa yang kian menebal dalam diri. Semua orang tahu apa hukumnya merampas tunangan orang lain.

Di rumah Encik Wahab…

Zulaikha duduk dengan penuh sopan di sisi ibunya. Di hadapannya pula adalah seorang lelaki pilihan keluarga untuk dirinya. Meluat juga rasanya apabila terpandang wajah Saiful yang berlagak seperti bertanggungjawab itu. Encik Wahab pula lebih rela berdiri.


"Tapi ibu..."

"Zulaikha, kami benarkan kamu melanjutkan pengajian, kami berikan tempoh untuk kamu mengejar cita-citamu tapi apa yang kamu lakukan di universiti? Bermain cinta dengan lelaki lain!" Nada suara ayah Zulaikha kian meninggi.

"Abah, Zu tidak pernah memberikan harapan padanya. Zu tidak pernah keluar berduaan bersamanya dan Zu tidak tahu pun tentang rombongan yang dihantar olehnya. Zu tidak mengingkari janji, abah, ibu..." Lembut sahaja Zulaikha membidas.

"Kenapa tidak kamu sarungkan cincin tunangmu?!"

"Zu tidak dapat fokus dengan adanya cincin itu di jari Zu. Maafkan Zu, abah. Tapi Zu tidak pernah menyimpan rasa terhadap Abang Saiful."

"Zulaikha!" Saiful tiba-tiba campur tangan. Garis-garis merah mula muncul pada matanya.

Berani sekali Zulaikha melawan pandangan bengis daripada Saiful. Dia tidak merasakan apa yang diperkatakannya sebentar tadi salah. Sudah memang seharusnya Saiful mengambil tahu soal hati Zulaikha, bukan soal hatinya sahaja.

Encik Wahab tidak lagi mahu meneruskan pertengkaran itu. Dia tidak mahu Zulaikha bertindak derhaka. Dia tahu, selembut-lembut Zulaikha, kekerasan tetap hadir dalam diri anak gadis sulung itu jika kebenarannya dicabar. Apa yang pasti, tarikh pernikahan mereka akan dipercepatkan.

* * *

bersambung~

No comments:

Post a Comment