Sibuk sekali rumah Syeikh Faizul pada lebaran kali ini. Ramai tetamu yang datang menziarahi. Tambahan pula ada majlis kesyukuran buat anak lelakinya yang sudah menamatkan pengajian pada tahap Master itu. Mujur sahaja ada yang membantu keluarga mereka untuk menyiapkan juadah hari ini. Kalau hanya mengharapkan anak gadisnya yang seorang itu, mana mungkin sempat siap semuanya.
Ramah sekali senyuman Kaef Qaisy menyambut mesra jiran tetangga biarpun ada yang tidak dikenalinya. Ramai yang datang hari itu semata-mata untuk melihat sendiri anak teruna Syeikh Faizul itu. Untung nasib, boleh dijadikan menantu. Kaef Qaisy memandang sekeliling mencari entah siapa. Seketika kemudian, matanya menangkap imej seseorang.
"Assalamualaikum." Tenang sahaja dia menghampiri adiknya yang sedang rancak berbicara dengan seorang gadis.
"Waalaikassalam, ya Akhi Kaef."
"Hazihi sadiqatuki?"
"Na'am."
"Dari universiti yang sama bukan?" Kaef Qaisy mula menukar bahasa tuturnya sambil melemparkan pandangannya kepada Zulaikha.
"Ya, benar."
Kaef Qaisy terangguk-angguk tanda pasti. Itulah gadisnya yang dia hampir langgar beberapa bulan lalu. Ya, dia ingat! Itulah pertama kalinya dia terpesona akan kecantikan seorang gadis.
"Masih ingat ana?"
"Bagaimana tidak..." Zulaikha tersenyum kecil. Dia turut terkenang saat itu.
" Aasef untuk itu. Salah ana kerana terlalu laju.”
“Oh, rupa-rupanya akhi yang menyebabkan kaki ukhti sampai lebam tu.” Qaira menyampuk.
“Kaki anti lebam? Aasef sekali lagi! Ma ismuki?”
"Tak mengapa. Ana…Zulaikha."
"Zulaikha..."
Redup matanya memandang wajah gadis ayu itu. Seluruh jiwanya memberi pujian kepada gadis itu. Zulaikha tertunduk, mengelakkan mata mereka terusan bertaut. Kaef Qaisy tersentak lalu pura-pura mencari seseorang. Hatinya kini sudah berdetak kencang. Qaira hanya mengulum senyum setelah mengenal pasti wajah gugup abangnya.
"Maaf, ana jumpa sahabat ana dahulu."
Terus-terusan Kaef Qaisy melafazkan istighfar saat kakinya dibawa melangkah pergi. Hampir sahaja syaitan menguasai mindanya di hari yang mulia ini. Bagaimana dia boleh membiarkan hati diragut seorang hamba Allah sedangkan cinta Ilahi belum tentu tergapai olehnya.
Qaira menyiku Zulaikha yang sudah mula tersenyum sendiri. Mereka sama-sama tergelak kecil disusuli gurauan nakal Qaira. Sesekali Zulaikha mencuri pandang Kaef Qaisy yang sibuk melayan tetamu yang hadir.
"Ya Akhi Kaef, Ukhti Zulaikha gadis yang cantik bukan?" Ujar Qaira ketika Kaef Qaisy membantunya di dapur.
"Limaza?"
"Qaira tahu, akhi tertarik padanya."
"Subhanallah! Hanya cinta Allah yang akhi ingin kejar, ya ukhti!"
"Akhi, jangan lupa...cinta sesama hamba-Nya juga kurniaan Ilahi. Akhi menafikan apa yang ada di hati akhi seumpama akhi menafikan kurniaan-Nya yang indah buat kita manusia. Lagi pula, sudah tiba waktunya akhi mempunyai seorang isteri untuk menjaga akhi..."
"Qaira terbeban kerana terpaksa menjaga akhi?"
"Astaghfirullahalazim! Tiada sedetik pun Qaira rasa begitu. Ini tanggungjawab Qaira yang Ummi tinggalkan."
"Aasef, Qaira. Akhi tidak bermaksud begitu."
Qaira hanya mencebik. Pantas sahaja jari Kaef Qaisy memicit hidung mancung adiknya itu. Syeikh Faizul yang sejak tadi mendengar perbualan anak-anaknya itu tersenyum kecil. Mindanya mula memikirkan kebenaran kata-kata Qaira. Kaef Qaisy sudah 27 tahun, sudah tiba masanya.
"Yang mana satu Zulaikha?" Gumam lelaki tua itu.
~
"Ooop!" Nakal sekali Fadzrina menyergah sepupunya itu.
"Fadz!" Manja sekali nadanya.
"Hai, jauh menung!"
"Mana ada, aku tengok cerita tu la." Zulaikha memuncungkan bibirnya ke arah peti televisyen.
"Cover pulak dah. Sayang, tu cerita sedih... yang kau tersengih-sengih tu apa kes?"
Zulaikha hanya terdiam. Kata-kata Fadzrina memang tidak mampu dipatahkan. Air yang terisi di dalam gelas itu diminumnya. Di satu sudut rumah, seorang lelaki memerhatikannya setiap gerak-gerinya. Zulaikha baru tersedar tentang perkara itu. Laju sahaja dia bangun dan melangkah pergi. Bimbang nanti mengundang sesuatu yang tidak elok.
"Apa perancangan anta, Kaef?"
"Ana mahu merantau, ya Abi, menimba ilmu yang kita tidak mampu diperolehi di mana-mana institut pengajian. Tapi bukan disini, bukan di Malaysia."
"Itu terpulang kepada anta, ibni. Cuma, di perantauan nanti, pasti anta perlukan seseorang yang boleh menjaga anta."
"Maksud Abi...isteri?"
"Na'am." Melihatkan reaksi Kaef Qaisy yang hanya terdiam, Syeikh Faizul bersuara lagi. "Kenapa? Anta sudah dewasa, Kaef. Sudah cukup syarat untuk bernikah."
"Ana bimbang jika ana terlalu sibuk sehingga mengabaikan isteri ana."
"Itulah sebabnya anta harus mencari isteri yang baik, yang solehah. Biar dia sama-sama menuntut ilmu bersama anta. Bukankah lebih bererti?"
"Tapi ana tidak menemukan sesiapa, ya Abi."
"Siapa pula Zulaikha?"
"Zulaikha…?” Kaef Qaisy tergelak kecil. “Dia hanya kenalan, sahabat Qaira. Lagi pula, ana tidak tahu siapa dia yang sebenarnya."
"Abi rasa, itu tugas anta, Kaef..."
Lama Kaef Qaisy merenung lantai. Jelas sekali tergambar wajah Zulaikha. Dia tahu dia perlu melakukan apa yang disuruh ayahnya kerana Syeikh Faizul tidak pernah memberi sesuatu arahan jika tidak penting.
Kaef Qaisy menghentikan langkahnya betul-betul di hadapan pintu bilik Qaira. Sayup-sayup suara adiknya mengalunkan ayat al-Quran. Perlahan dia mengetuk pintu bilik itu. Sebenarnya, dia tidak mahu mengganggu adiknya pada waktu hampir Subuh begini. Namun, tafakurnya sepanjang malam, tidak membuahkan ketenangan pada hati.
"Ada apa, ya akhi?"
"Saa'ada akhuki, Qaira." Lemah sekali suara Kaef Qaisy.
"Kenapa ni? Masuk dahulu, akhi." Cemas sekali ekspresi wajahnya.
Qaira mendengar penuh prihatin setiap masalah abangnya. Sedikit-sedikit dia tersenyum. Namun hati wanitanya ikut resah bersama kegusaran saudara tunggalnya itu. Arahan Syeikh Faizul memang harus dipenuhi namun hati Kaef Qaisy seakan menolak keinginan untuk mempunyai isteri.
"Bantu akhi mengenalinya, Qaira."
"Sebelum itu, tidak adakah akhi menyimpan rasa terhadap gadis lain."
"Hanya dia yang membekas di hati akhi."

No comments:
Post a Comment