JOIN NOW~!

Friday, January 16, 2009

Mahar Cinta {6-akhir}

Kalut sekali keadaan Zulaikha menuju ke bilik kuliah. Sudah berkali-kali dia terlewat. Pasti Profesor Azam akan mengambil tindakan terhadapnya kali ini. Pantas dia menolak pintu tanpa menyedari ada seseorang sedang berdiri di belakang pintu tersebut. Tinggi nada erangan seorang lelaki setelah kepalanya terhantuk pada pintu tersebut.

Zulaikha tergamam tatkala lelaki itu memandang wajahnya dengan mata yang menyala-nyala. Keadaan berbeza pula selepas itu. Lelaki itu terpaku tatkala Zulaikha memohon maaf kepadanya berulang-ulang kali.

“Zulaikha! Kamu lewat lima belas minit! Lepas kelas, jumpa saya!”

“Baik, Profesor.” Merah padam wajahnya menahan malu.

Sekali lagi Zulaikha memohon maaf sebelum pergi mengambil tempatnya. Lelaki itu turut kembali ke tempatnya yang secara kebetulan di belakang Zulaikha. Dia teragak-agak untuk menyapa gadis itu.

“Assalamualaikum!” Sapa Abdul Hafiz setelah kelas tamat.

“Waalaikumussalam.”

“Abdul Hafiz. Awak?”

“Zulaikha. Maaf untuk tadi. Awak pelajar baru?” Soal Zulaikha sekadar untuk berbasa-basi.

“Tak mengapa. Ya, saya baru bertukar ke universiti ini.”

“Baiklah…saya, harus pergi.” Zulaikha mula rasa tidak enak apabila Abdul Hafiz menatapnya lama.

Setelah berjumpa dengan Profesor Azam, Zulaikha terus menuju ke kereta untuk kembali semula ke hospital. Profesor Azam memberi amaran bahawa dia akan melaporkan kelewatan Zulaikha jika perkara yang sama berulang lagi. Hakikatnya, tiada siapa yang tahu apa yang telah terjadi kepadanya.

“Zulaikha…awak nak ke mana?”

“Eh, awak! Err..saya…ada hal.”

“Penting? Ingatkan nak awak temankan saya minum petang. Ganti rugi awak langgar saya tadi. Tapi saya yang belanja.”

“Eh? Errh…” Zulaikha mula cemas.

“Jomlah! Kalau tak nak kat luar, kat cafĂ© tu pun boleh.” Pujuk Abdul Hafiz sambil menunjuk sebuah kedai minum yang terdapat di universiti itu. “Boleh awak tunjuk-tunjukkan universiti ni kat saya.”

Zulaikha mula rasa serba-salah. Dia tahu dia tidak seharusnya keluar bersama lelaki lain tanpa pengetahuan suaminya. Tambahan pula, suaminya dalam keadaan yang tidak sedarkan diri. Dia boleh dikatakn berlaku curang. Namun gerak hatinya kuat untuk mengikuti permintaan Abdul Hafiz sehingga mempengaruhi dirinya untuk menerima pelawaan itu.

Mesra sekali perbualan mereka biarpun baru beberapa jam berkenalan. Zulaikha gembira sekali bersama Abdul Hafiz, bagaikan selesai semua masalah. Abdul Hafiz seorang yang ramah dan lucu. Tampangnya juga tidak kurang kacaknya, maklumlah kacukan Melayu dan Arab.Begitu terdengar azan Asar, Zulaikha tersedar bahawa dia sudah terleka. Dia mohon pergi untuk menunaikan solat. Kemudian, dia bergegas ke hospital.

* * *
Terang sekali keadaan sekeliling, terasa pedih matanya. Bagai dilahirkan semula, Kaef Qaisy memandang dunia sekelilingnya dengan penuh hairan. Tiada sesiapa di sisinya. Dia keliru, kenapa dia berada di sini?

Tiba-tiba pintu bilik itu dibuka dari luar. Dengan pandangan yang kabur, Kaef Qaisy memerhati satu bayang-bayang manusia yang menghampirinya. Matanya dikelip berkali-kali namun pandangannya masih lagi kabur.

Qaira berlari keluar untuk mendapatkan doktor. Kaef Qaisy pula cuba bangun. Berat sekali rasa kepalanya. Seketika kemudian, perempuan yang dilihatnya tadi muncul lagi dengan seorang doktor dan jururawat.

“Ini cermin mata akhi.”

“Syukran. Qaira, mana Zulaikha?”

“Ermm…mungkin sekejap lagi dia sampai.”

Semua ahli keluarganya sudah ada di situ, hanya Zulaikha yang hilang entah ke mana. Encik Wahab sedikit marah dengan sikap Zulaikha yang masih tidak kunjung tiba biarpun sudah diberitahu agar segera ke hospital.

“Bila akhi boleh pulang?”

“Doktor cakap tunggu dua tiga hari lagi. Nak pastikan akhi betul-betul sihat.”

“Assalamualaikum!”

Zulaikha masuk sambil tertunduk. Dia tahu pasti keluarganya akan marah. Laju dia bersalaman dengan ayah, ibu dan ayah mertuanya. Kemudian dia menghampiri Kaef Qaisy lalu mengucup tangan suaminya itu. Tidak sekali pun dia berani menatap wajah suaminya itu.

“Boleh ana berbicara dengan Zulaikha sendirian?”

Seakan faham keinginan Kaef Qaisy yang sudah lama tidak berjumpa dengan isterinya itu, mereka keluar dari bilik tersebut tanpa sebarang bantahan. Hanya Qaira menghadiahkan pandangan yang tajam kepada Zulaikha.

“Anti sihat?”

“Ya.”

“Sejak bila anti pakai alat solek?”

“Err…Anta tak suka?”

“Ana suka…cantik! Cuma janganlah berhias begini di luar, boleh menarik hati lelaki lain.” Kaef Qaisy tersenyum. Dia menggenggam tangan Zulaikha, sejuk! “Anti dari mana?”

“Maaf kerana keluar tanpa izin anta.”

“Tak mengapa, anti keluar dengan teman kuliah ya?”

Berkali-kali Kaef Qaisy menyoal namun Zulaikha cuba untuk mengelak. Dia masih enggan menatap wajah suaminya. Seketika kemudian, telefon bimbit Zulaikha yang ada di atas meja sisi berbunyi. Cepat sahaja Kaef Qaisy mencapainya sebelum Zulaikha.

“Apa ni?” Zulaikha hampir menengking.

“Abdul Hafiz. Siapa dia? Kekasih anti?”

Kaef Qaisy meninggikan suaranya. Dia begitu pasti bahawa Zulaikha telah curang kepadanya. Jika tidak, Zulaikha tidak akan cemas sebegitu rupa. Kaef Qaisy melepaskan telefon bimbit itu. Panjang istighfarnya. Bagaimana gadis seperti Zulaikha bisa berubah secara tiba-tiba? Apakah dia tertekan dengan dugaan Allah sehingga termakan pujuk rayu syaitan?

“Maafkan ana…”

“Kenapa anti jadi begini? Anti tahu tak anti telah curang? Anti tak takut pada dosa? Balasan Allah?”

“Terlalu banyak yang terjadi. Anta tidak mengerti! Anta tidak berada di tempat ana.”

“Allah mengerti, mohonlah ketenangan daripada-Nya, bukan dengan berfoya-foya di luar! Ke mana pergi didikan agama anti?!”

Zulaikha duduk di satu sudut bilik. Dia tidak mahu terusan membidas kata-kata Kaef Qaisy. Dia sedar telah banyak dosa yang dilakukannya dan tidak mungkin dia ingin menambahnya dengan dosa derhaka terhadap suaminya. Pintu diketuk, Qaira masuk. Dia terdengar pertengkaran itu apabila dia kembali untuk mengambil begnya yang tertinggal.

“Maaf, Qaira terdengar pertengkaran akhi dan ukhti. Qaira cuma nak ambil beg.”

“Qaira tahu tentang ini?” Tegas suara Kaef Qaisy.

“Aasef, ya akhi! Qaira tahu. Tapi Qaira tak cukup kuat untuk menghalangnya.”

“Astaghfirullahalazim! Apa dosa ana sehingga diperlakukan sebegini?!”

~
Zulaikha menghampiri Kaef Qaisy yang hampir selesai solat itu. Sudah seminggu dia pulang ke rumah namun tidak sekali mereka bertegur sapa, tidak juga solat bersama. Mereka bagaikan orang asing yang diikat dengan hubungan yang sah.

Dia tidak berani menceritakan bahawa dia dan Abdul Hafiz sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi sejak hari Kaef Qaisy tersedar itu. Benar dia telah rebah dalam pujukan syaitan yang hampir membuatkannya hilang maruah diri. Ternyata Abdul Hafiz bukan lelaki yang baik, dia cuba memperkosa Zulaikha. Itulah balasan buatnya yang curang tehadap suami yang terlantar tidak berdaya. Mujur sahaja dia mampu melepaskan diri.

“Maafkan ana… Ana telah banyak berdosa. Ana tidak seharusnya berputus asa terhadap anta. Ana tidak seharusnya cu…”

Pantas Kaef Qaisy meletakkan jarinya pada bibir Zulaikha. Sebenarnya, dia sudah pun memaafkan Zulaikha. Cuma dia terasa janggal untuk berbual dengan Zulaikha. Bimbang Zulaikha masih lagi ingin menegakkan benang yang basah yang boleh mengundang kederhakaan.

Kaef Qaisy menghadiahkan satu kucupan lembut di dahi Zulaikha lalu tersenyum. Ketenangan yang terpancar melalui mata lelaki itu membuatkan Zulaikha kembali lemas dalam kasih Kaef Qaisy.

“Tak mampu ana berhenti daripada mencintai anti. Ingat tak? Ana rela terbeban jika anti adalah hadiah Allah atas dugaan yang menimpa ana.”

“Biarpun hadiah itu turut menjadi dugaan buat anta?”

“Biarpun hadiah itu adalah dugaan buat ana. Hanya Allah yang boleh menarik keindahan cinta yang ana rasakan ini.”

“Boleh tunjukkan ana keindahan cinta itu?”

Mereka sama-sama tergelak kecil. Kaef Qaisy memicit lembut hidung isterinya. Hanya Allah yang mendengar tahmid yang dilafazkan hati lelaki itu atas kesedaran yang diberikan kepada isterinya.

* * *

“Alangkah nikmatnya jika Qaira turut merasakan cinta yang hebat teruji seperti cinta ukhti dan Akhi Kaef.”

“Ya, ukhti tidak pernah menyesal dengan apa yang terjadi. Ukhti bahkan lebih menghargainya.”

“Ummi, Abi main tipu!” Rengek anak kecil yang berusia kira-kira lima tahun itu.

“Kenapa Abi main tipu?” Soal Zulaikha sambil membetulkan songkok di kepala Ibnu Qaisy.

“Mana ada… Abi sebenarnya tak tahu main la…”

Mesra rasanya sentuhan di bahu Zulaikha. Kaef Qaisy menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kemudian dia mengangkat Ibnu Qaisy lalu memicit lembut hidung anaknya. Zulaikha hanya tersenyum menyaksikan gelagat suami dan anak lelaki mereka. Di hati kecilnya, tahmid kepada Allah tidak pernah berhenti sejak hubungannya dan Kaef Qaisy terselamat daripada dugaan besar itu.

“Kak, jomlah ambil gambar raya satu famili!” Firdaus memanggil dari pintu utama rumah.

Cinta itu manis. Cinta itu pahit. Cinta miliki pelbagai rasa. Cinta itu sememangnya indah, namun cinta itu teramat indah jika membawa diri mendekati Allah...
^________^

(click play button ^___^)
Get this widget | Track details | eSnips Social DNA


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Ini hanyalah sebuah kisah rekaan penulis, jika terdapat sebarang kekurangan atau kesalahan dalam kisah ini, semuanya berasal daripada kejahilan diri. Jika anda menyukainya, ALHAMDULILLAH, segala kebaikan datang daripada-Nya.

Jika benar rasa yang hadir ini adalah anugerah daripada-Mu, kekalkanlah sehingga ke akhir hayat. Jika ianya hanya mainan syaitan, cabutlah rasa ini dari jiwaku.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

No comments:

Post a Comment